Pendapat orang Islam Sarawak tidak peduli makanan halal salah dan sangat berbahaya

Seorang pengusaha kek lapis tempatan sedikit terkilan apabila kek lapis yang dipamerkan di Semenanjung dianggap tidak halal ekoran tanggapan yang dicipta oleh sesetengah penduduk Sarawak di media sosial yang juga terperangkap dalam tanggapan umat Islam tidak peduli makanan halal, ini disumbangkan oleh persepsi yang disebarkan melalui media sosial bahawa kononnya umat Islam di Sarawak tidak peduli makanan halal dan makanan halal disini kurang yang menyebabkan penduduk muslim memakan sahaja apa yang terhidang serta menggunakan tafsiran 'harmoni' yang salah. Maka, timbullah tanggapan orang luar bahawa di Sarawak tiada atau kurang makanan halal.

Itu mustahil kerana terdapat 746 premis makanan mendapat sijil halal pada 2022 dan bertambah kepada 896 pada 2024 menurut Majlis Agama Islam Sarawak.

Pembangunan seperti Hab Halal Tanjung Manis yang seluas 70,000 hektar bertujuan untuk menarik pelaburan dalam pengeluaran makanan halal global ekoran permintaan produk halal yang dijangka tumbuh dengan pesat dan dianggarkan berjumlah $4.5 trilion pada 2030. Industri halal ini bukan industri cikai-cikai!

Mungkin ada yang terlupa bahawa Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH) yang asalnya unit dibawah Jabatan Ketua Menteri Sarawak digabungkan dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (MID) menerusi warta yang dikeluarkan pada 31 Mei 2016 yang kini dikenali sebagai  Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan , Perdagangan dan Pelaburan Sarawak ( MIETI Sarawak) dan kemudian dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak (MIED) yang juga kemudiannya selepas rombakan kabinet pada 2019, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak (MIED) bergabung dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang (MiTEC) dengan nama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industrian, Perindustrian Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak.

Kerajaan negeri juga sudah lama memberikan tumpuan pada sektor halal dengan pemberian insentif kepada perniagaan atau syarikat-syarikat yang terlibat dalam pengeluaran produk halal misalnya potongan cukai sehingga 100% dan pengendali logistik berkait halal juga mendapat insentif yang serupa.

Adakah ini menunjukkan umat Islam Sarawak serta juga peniaga tidak peduli makanan halal?

Tanggapan ini juga bakal merugikan industri pelancongan di Sarawak ekoran Lembaga Pelancongan Sarawak September tahun lalu optimis dalam mempromosikan pelancongan halal. Sebanyak 68 hotel di Sarawak mempunyai sijil pengesahan halal yang dan di Kuching sahaja 29 hotel yang menggambarkan kepedulian masyarakat serta perniagaan disini pada aspek halal.


Apabila sesetengah individu yang sedang rancak mengatakan 'kami di Sarawak tidak ada isu sekian sekian' apabila melibatkan aspek halal sekadar mencipta tanggapan yang salah pada masyarakat luar, ini merugikan ramai pemain industri ini di Sarawak bahkan industri pelancongan itu sendiri kerana kenyataan yang jelas menyimpang ini. Keharmonian memang wujud baik di Semenanjung dan Sarawak serta Sabah tetapi menggunakan hujah 'keharmonian' untuk menggambarkan perkara yang salah di Sarawak merugikan negeri ini sendiri. Bak kata pepatah 'menang sorak, kampung tergadai'. Sorak sesetengah golongan tak perlu dimenangi.


Bacaan lanjut: 

https://mid.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?lang=bm&mod=webpage&sub=page&id=39

Ulasan